Mukaddimah
MENYEDARI PERI pentingnya tatalaku para ahli akademik dalam menjalankan tugas dan meningkatkan keprofesionalan kerjaya mereka, maka Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) ingin menegaskan bahawa segala perilaku dan tindak tanduk seseorang ahli akademik itu bakal menentukan integriti dan imej profesion mereka pada mata masyarakat.
Setelah mengambil kira pelbagai isu yang dihadapi oleh golongan ahli akademik sejak kebelakangan ini bersabit dengan kerja-kerja pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan, dan berbagai-bagai aktiviti yang berkait dengan pengembangan serta penyebaran ilmu maka adalah wajar satu kod yang dapat dijadikan bahan panduan dan penilaian terhadap perilaku mereka digubalkan.
Menginsafi akan cabaran masa kini yang semakin mendesak dari segi kewibawaan seseorang pensyarah, penyelidik, pengurus, pelajar dan golongan profesional lain dalam menangani golongan terdidik dan berbudaya maka sifat-sifat yang cemerlang perlulah diamalkan demi meningkatkan kepercayaan masyarakat, majikan dan rakan sebaya.
Mempercayai bahawa sebuah kod etika penting untuk meningkatkan penghayatan nilai murni seseorang dari segi menegakkan kebenaran, kebebasan, keadilan, keikhlasan, kejujuran dan amanah, justeru itu GERAK bersetuju dengan ikrar berikut:
Artikel 1 – Tujuan Kod
Tujuan kod ini adalah untuk menyediakan.sebuah panduan umum dan memupuk suatu suasana yang positif dari segi kerja-kerja pengajaran, pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan, penyebaran ilmu dan hubungan yang lebih bersifat profesional serta bertanggungjawah di kalangan para ahli akademik.
Artikel 2 – Ruang Lingkup Kod
Kod ini meliputi rangka tugas untuk para ahli akademik yang sedang bekerja di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institut penyelidikan, persatuan profesional, pihak swasta, karyawan individu atau pelajar yang mengakui diri mereka sebagai pendokong kerja-kerja penyelidikan, penerbitan, pengajaran, perundingan dan karyawan. Di samping itu hasil tugasan mereka akan dinilai oleh rakan sebaya ataupun masyarakat umum.
Artikel 3 – Takrifan untuk Tujuan Kod Ini
Ahli akademik bermaksud seseorang yang mempunyai kelayakan dan pengkhususan latihan dalam disiplin akademik yang pelbagai atau lain-lain disiplin yang boleh dianggap merangkumi bidang akademik. Ia merangkumi juga kakitangan akademik yang bekerja sebagai tenaga pengajar di peringkat universiti, institut, maktab atau pakar bebas yang menjalankan kerja-kerja pengajaran dan penyeliaan baik di universiti/kolej milik kerajaan ataupun swasta.
Plagiarisma bermaksud menggunakan data atau idea penyelidik/ orang lain tanpa merujuk kepada sumber yang diperoleh. Ia juga termasuk penyalinan verbatim sesebuah teks yang ditulis oleh orang lain. Terdapat juga mereka yang mencuri data/idea dari kertas cadangan permohonan geran orang lain ataupun dari manuskrip yang diserahkan untuk penilaian atau penerbitan.
Forgeri bermaksud membentangkan atau menerbitkan hasil kajian yang sebenarnya tidak pemah dilaksanakan atau menipu tentang data yang kononnya dikumpulkan.
Merapikan data (data trimming) bermaksud memanipulasi data atau hasil kajian supaya ia kelihatan sempuma dan boleh diterima sebagai otentik. Kes begini juga disebut sebagai ‘massaging data’ atau ‘fudging the data’.
Artikel 4 – Tugas dan Kerjaya
1. Ahli akademik/pensyarah perlulah melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh dedikasi, profesional dan berintegriti. Mereka juga perlu berusaha untuk meningkatkan mutu keprofesionalan bidang pengkhususan mereka serta menampilkan imej yang cemerlang. Mereka hendaklah sentiasa peka kepada perkembangan semasa dalam disiplin yang dipeloporinya, mengadakan penemuan-penemuan baru dan juga mampu berinteraksi dengan golongan profesional lain atau masyarakat umum dengan semangat saling menghormati dan bekerjasama.
2. Apabila berurusan dengan pelajar atau orang ramai, ahli akademik perlu menghormati kebebasan dan pendapat mereka walaupun bertentangan dengan pendirian sendiri. Ahli akademik perlu mengelakkan diri daripada tindakan terburu-buru atau tingkah laku yang boleh mencemarkan peribadi sendiri atau profesionnya, melanggar tatalaku moral yang baik, mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam serta hal-hal yang berlawanan dengan kepentingan umum.
3. Ahli akademik perlu iltizam dan berusaha menegakkan nilai-nilai sejagat seperti penghayatan kebebasan, demokrasi, kebenaran, keadilan dan cintakan tanahairnya. Mereka hendaklah menjadi warga contoh dalam menampilkan moral yang tinggi, menghargai keadilan sosial, mengamalkan kejujuran dan sentiasa berani menyuarakan pendapat dengan ikhlas.
4. Ahli akademik akan menyumbangkan khidmat bakti mereka dalam mengajar, melatih, menyelia para pelajar yang di bawah penyeliaannya dengan penuh minat dan sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar dan berkongsi kepakaran dan pengalaman kepada mereka yang memerlukan khidmat.
5. Ahli akademik perlu akur kepada etika profesional dan sentiasa berusaha menyumbangkan tenaga dan pendapat ke arah membangunkan sebuah masyarakat yang adil dan berperikemanusiaan.
Artikel 5 – Tanggungjawab Ahli Akademik
1 . Mereka bertanggungjawab kepada masyarakat pelajar dan disiplin yang mereka khususi. Mereka perlu menggunakan kepakaran mereka untuk meningkatkan kehidupan umat manusia dan alam sekitar secara berterusan. Dalam hal ini mereka juga berfungsi sebagai pengkritik sosial.
- Mereka perlu menegakkan nilai-nilai yang. baik dalam masyarakat dan menyumbangkan kepada pembangunan kemajuan dan keamanan negara. Dalam hal ini mereka hendaklah mengelakkan diri daripada terbabit dalam aktiviti-aktiviti berlawanan dengan kebaikan dan kepentingan umum.
- Dalam suasana di mana golongan kurang bernasib baik sentiasa diketepikan dan dinafikan hak, mereka mempunyai hak, mereka mempunyai tanggungjawab penting untuk membela golongan yang daif dan tidak berdaya Dalam hal. ini mereka merupakan advokat kepentingan golongan, yang kurang bernasib baik. dan membantu meningkatkan kehidupan golongan ini.
- Mereka perlu menegakkan kebenaran pada. setiap waktu. dan tempat. Mereka tidak boleh berkompromi dan mencemarkan profesionnya dengan memanipulasikan kebenaran untuk kepentingan-kepentingan tertentu.
- Mereka perlu menegakkan kejujuran intelektual. Mereka tidak boleh membuat pengakuan untuk mendapat nama atau ganjaran hasil dari data, ilmu atau inovasi yang diusahakan oleh orang lain.
- Mereka bertanggungjawab terhadap integriti penyelidikan yang mereka lakukan. Mereka perlu memastikan bahawa norma-norma kerja kesarjanaan yang baik dipatuhi dalam menghasilkan kajian atau karya mereka.
- Mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengambil pendirian dalam perdebatan mengenai isu-isu yang mana mereka mempunyai kepakaran atau pengalaman yang mencukupi. Dengan cara ini, mereka memperjelaskan isu-isu saintifik dan sosial menerusi bantuan ilmu dan pendekatan ilmiah.
Artikel 6 – Bidang-bidang Keprihatinan Profesion dan Individu
Ahli akademik beriltizam untuk mengembangkan bidang kepakaran mereka, menggalakkan kesejahteraan sosial dan juga meningkatkan kebolehan dan kepakaran profesional diri sendiri.
- Perkembangan Profesional
(a) Ahli akademik akan mengukuhkan kedudukan disiplin mereka menerusi interaksi saintifik, profesional dan intelektual di kalangan rakan sebaya, badan dan persatuan profesional serta juga institusi yang mempunyai kepentingan bersama.
(b) Mereka akan mempromosikan hak, kebajikan dan pengembangan pengetahuan dengan menyumbangkan ke arah dinamisma dan kemajuan profesion mereka. Ini termasuklah di bidang pendidikan, sains dan teknologi; meningkatkan dan mengukuhkan kemampuan universiti dan institusi-institusi pengajian tinggi dalam menghadapi cabaran baru.
(c) Mereka perlu menilai secara kritis dan juga menafsirkan pelbagai orientasi falsafah dan dasar demi membuka minda kepada model-model atau alternatif-alternatif baru. Hal ini termasuklah mempribumikan teori-teori atau alternatif yang bersesuaian dengan pembentukan tradisi intelektual dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat tempatan.
- Penyelidikan
(a) Mereka perlu menghayati penyelidikan-penyelidikan yang dapat memberi sumbangan dan pemahaman baru dengan mengamalkan berbagai-bagai kaedah kajian. Penyelidikan antara disiplin yang bersikap lebih luwes perlu digalakkan dan pada masa yang sama pengukuhan ilmu teras dapat dimanfaatkan.
(b) Dalam menjalani dan melaporkan hasil penyelidikan, mereka perlulah jujur dan tidak mengamalkan penipuan seperti forgeri dan merapikan data demi kepentingan diri, kenaikan pangkat atau motif-motif yang bertentangan dengan semangat penyelidikan. Kesemua ini adalah untuk mencari kebenaran dan menerima fakta sebenar walaupun berlawanan dengan hipotesis yang dimulakan. Para penyelidik harus bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang mengecewakan dari segi keputusan di luar jangkaan ramalan dan perlu. menerima kenyataan tersebut secara rasional tanpa memalsukan data atau maklumat.
(c) Mereka perlu menyatakan nama yayasan atau badan yang membiayai penyelidikan mereka dan tidak harus terpengaruh atau takut untuk melaporkan hasil kajian secara objektif.
- Penerbitan
(a) Mereka perlu memberi penghargaan kepada semua individu yang telah menyumbangkan berbagai bantuan, buah fikiran atau penulisan dengan menyatakan secara jelas tentang sumbangan individu-individu tersebut.
(b) Mereka perlu menulis secara objektif tentang sesuatu laporan; ulasan atau hasil kajian walaupun ia bertentangan dengan pemihakan diri, orientasi ideologi; anutan agama ataupun etnisiti diri.
(c) Mereka perlu mengelakkan diri dari mencuba atau mengamalkan plagiarisma dalam hasil penerbitan.
(d) Mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan mutu penerbitan yang dihasilkan sejajar dengan peningkatan integriti dan imej profesion yang dipelopori.
(e) Mereka yang melakukan plagiarisma dengan tidak sengaja perlu memperbetulkan kesilapan mereka seberapa segera menerusi tulisan, permohonan maaf dan memasukkan penghargaan atau hasil rujukan yang sewajarnya kepada pihak penerbit jika ia merupakan buku atau kepada penyunting buku jika ia merupakan buku suntingan atau sidang editor jurnal, jika ia merupakan penerbitan berbentuk jurnal atau badan pembiaya jika ia merupakan laporan penyelidikan yang dibiayai.
(f) Mereka yang dibuktikan melakukan plagiarisma perlu didedahkan dan diadili secara wajar dan objektif oleh pihak-pihak yang diberi kuasa untuk mengambil tindakan. Jika perlu sebuah jawatankuasa bebas perlu diwujudkan bagi menangani masalah ini.
- Hubungan dengan Pelajar/Klien
Mereka perlu mewujudkan hubungan yang profesional dan bermoral apabila ditugaskan untuk mengajar atau menjadi pakar runding. Mereka tidak harus mengambil kesempatan atau bertindak tidak wajar dengan mengenakan bayaran yang tidak berpatutan ke atas klien. Dalam hubungan dengan pelajar mereka harus bersifat sedia membantu dan tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dari kelemahan pelajar.
Artikel 7 – Upah dan Ganjaran
Dalam urusan kerja yang. menyediakan upah (tidak termasuk gaji tetap) mereka perlulah jujur dalam mengenakan bayaran upah perundingan. Jumlah masa yang diluangkan untuk tugas tertentu haruslah berpadanan dengan upah yang diterima berdasarkan amalan ‘standard’ yang dibayarkan kepada pakar-pakar yang setaraf dengannya.
Artikel 8 – Sekatan
- Ahli akademik yang didapati melanggar kod etika profesion mereka atau melakukan tindakan yang mencemarkan integriti dan imej profesion perlu diperingatkan dan diadili oleh rakan sebaya, majikan dan badan yang mempunyai kepakaran untuk membuat penyiasatan dan penilaian.
- Setiap ahli yang tertuduh perlu diberi peluang untuk membela diri, menerangkan sebab- sebab dan alasan-alasan yang munasabah. Beliau perlulah diberi penilaian yang seadil- adilnya untuk mengelakkan sebarang tindakan bersifat menganiaya dan menindas.
- Ahli akademik perlu mengelakkan diri daripada menjatuhkan nama baik individu dan profesion mereka menerusi kenyataan akhbar yang bersifat sensasional dan tidak objektif.
* Kod Etika ini disesuaikan dari Kod Etika Ahli Sains Sosial yang digubal oleh Sdr Wan Manan.