Sejak beberapa bulan yang lalu, laporan-laporan berita telah membongkar pelbagai kepincangan dalam Majlis Profesor Negara (MPN), bermula dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan kini merangkumi persoalan tentang keberadaan dan peranannya yang kabur. Kedudukan MPN ini terus diperdebatkan, sama ada ia harus diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Pendidikan Tinggi.
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) telah berulang kali menyeru pembubaran penuh Majlis Profesor Negara (MPN), dengan menegaskan bahawa ia bukan sahaja gagal dalam mewakili kepentingan sebenar komuniti akademik Malaysia yang pelbagai tetapi juga menyumbang kepada pembaziran dana awam serta mencemarkan imej dan integriti akademik negara.
Gambaran yang diberikan oleh MPN bahawa ia mewakili komuniti akademik Malaysia adalah jauh dari realiti. MPN pada asasnya merupakan segelintir kumpulan elit profesor dan profesor madya yang cenderung kepada kepentingan politik tertentu. Walaupun komuniti akademik Malaysia merangkumi individu dari pelbagai pangkat dan gred—termasuk pensyarah, pensyarah kanan, profesor madya, dan profesor penuh—di universiti, kolej, dan maktab perguruan awam serta swasta, MPN hanya terdiri daripada segelintir individu.
Tambahan lagi, dakwaan MPN untuk mewakili semua profesor tidak berasas kerana tiada proses keahlian yang jelas, dan ramai profesor terkemuka telah menjauhkan diri daripada MPN sejak ia ditubuhkan. Adalah jelas bahawa MPN bukanlah mewakili semua profesor, memandangkan ramai profesor tidak pernah memohon untuk menjadi ahli atau membayar yuran keahlian.
GERAK percaya bahawa pembubaran MPN adalah langkah pertama yang kritikal dalam memastikan suara akademik yang benar-benar bebas, inklusif, dan profesional dapat memainkan peranan penting dalam pembentukan dasar pendidikan tinggi negara.
Selain itu, kami menuntut agar kerajaan memperkasakan dan melibatkan semua persatuan dan kesatuan akademik sedia ada dalam proses membuat keputusan berkaitan dasar pendidikan tinggi, dan bukannya menubuhkan bentuk representasi baharu. Kami menyeru agar sistem representasi akademik dirombak untuk menghapuskan hierarki kaku dan budaya “yes-men” yang berasaskan pangkat serta pelantikan bermotifkan politik.
Hanya dengan keterlibatan menyeluruh dari persatuan dan kesatuan akademik yang berpengalaman, kita dapat membentuk sistem akademik yang benar-benar menghargai keaslian, kebebasan berfikir, dan penciptaan ilmu yang tulen.
Perlu diingatkan bahawa sebagai anggota kepada sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui ILO dan UNESCO, Malaysia terikat dengan 1966 ILO/UNESCO Recommendation concerning the Status of Teachers, yang secara prinsip mengharuskan negara untuk mengadakan dialog berkala dengan organisasi akademik dan pendidik dalam setiap perubahan dasar atau perkhidmatan pendidikan di peringkat institusi atau nasional.
Kegagalan untuk mematuhi piawaian antarabangsa tidak hanya memberi kesan kepada kredibiliti Malaysia di arena global, tetapi juga menjejaskan kedudukannya dalam kalangan akademik serantau dan antarabangsa.
Selaras dengan piawaian antarabangsa, GERAK yakin bahawa keterlibatan semua lapisan ahli akademik di Malaysia, dari pensyarah dan penyelidik hingga sarjana yang baru berkhidmat, untuk menyuarakan pandangan mereka dan memainkan peranan yang lebih bermakna dalam dasar pendidikan tinggi negara.
GERAK telah lama memainkan peranan tersebut untuk melibatkan komuniti akademik pada semua peringkat dan sentiasa bersedia untuk mengemukakan cadangan alternatif yang praktikal dan selaras dengan keperluan semasa negara dan masyarakat secara keseluruhan.
Hanya dengan pendekatan inklusif ini, Malaysia dapat menyokong landskap akademik yang subur yang memupuk integriti intelektual, memenuhi keperluan masyarakat, dan mengukuhkan reputasi pendidikan tinggi kita di pentas dunia.