Sejarah ringkas GERAK
Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) atau Malaysian Academic Movement (MOVE) wujud berasaskan rentetan perjuangan golongan akademik di Malaysia sejak pertengahan tahun 1970an. Usaha untuk menubuhkan sebuah pertubuhan kakitangan akademik peringkat kebangsaan bermula pada tahun 1978.
Pada tahun 1978 berita tentang pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) berkaitan “Staff Rules and Regulations” membimbangkan golongan akademik di universiti2 awam pada ketika itu. Beberapa mesyuarat di antara persatuan2 kakitangan akademik semua universiti diadakan untuk mendapat persetujuan bersama menangani saranan pindaan baru itu. Himpunan persatuan2 kakitangan akademik pada masa itu sebulat suara menganggap peraturan baru itu merupakan hukuman mati kepada kebebasan akademik dan otonomi universiti. Mereka juga berpendapat peraturan tersebut memberi terlampau luas kuasa kepada naib canselor dan pihak berkuasa universiti yang boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa.
Sehubungan dengan itu golongan akademik ini juga memperjuangkan reformasi pendidikan tinggi dan mereka telah berjaya menyediakan sebuah dokumen yang progresif dan demokratik yang di namakan “University Charter” atau Piagam Universiti sebagai alternatif kepada AUKU. Akhirnya wakil persatuan kakitangann akademik dapat mengadakan mesyuarat dengan Dato’ Musa Hitam yang merupakan Menteri Pelajaran pada ketika itu. Walaupun mereka berjaya mendapat persetujuan Menteri untuk pindaan beberapa klausa, tapi pada keseluruhannya pihak pemerintah tidak banyak berganjak dari cadangan awal mereka dan usul mereka diluluskan di Parlimen tanpa banyak pindaan.
Kesan dari kegagalan mempertahankan perjuangan menegakkan kebebasan akademik dan otonomi universiti tersebut pemimpin persatuan2 akademik bersetuju menubuhkan sebuah tenaga akademik kebangsaan. Tetapi sayangnya usaha tersebut tidak dikendalikan sehinggalah pada tahun 1985 apabila pindaan AUKU tadi dikenakan untuk menghukum Presiden dan Naib Presiden, Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran Universiti Sains Malaysia (PKAPUSM). Krisis antara
PKAPUSM dan pihak berkuasa USM ini berakhir dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang berpihak kepada PKAPUSM (Presiden dan Naib Presiden) pada tahun 1988 dan keputusan bertulis bertarikh 20 Januari 1989.
Pada tahun 1989 PKAPUSM telah menganjurkan Persidangan Akademik Kebangsaan di Pulau Pinang dengan menjemput sebilangan besar tokoh akademik dan intelektual sebagai pembentang kertas. Di persidangan tersebut sebuah resolusi telah diluluskan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan akademik kebangsaan secara sebulat suara. PKAPUSM telah diberi mandat untuk menubuhkan jawatankuasa protem dan mendaftarkan pertubuhan baru tersebut.
Setelah beberapa tahun berbincang dan mendapat pelbagai pandangan dari pelbagai pihak terutama persatuan2 kakitangan akademik akhirnya Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK) berjaya didaftarkan pada 23.06.1993.